semoga anda lebih bermotivasi hari ini..
(Artikel ini merupakan artikel asal yang telah diterbitkan di Ruangan Minda Bistari, Harian Metro pada 25 Mac 2010 di bawah tajuk “Modal Bukan Prasyarat Mutlak” dengan beberapa pindaan oleh pihak editor)
Sejak lebih setahun lalu Johor Corporation (JCorp) telah menggerakkan usaha mendekati pelajar melalui program Seminar Gerak Usahawan Siswa / Pelajar di sekolah dan IPT seluruh negara. Ia untuk menanam minat berniaga dan menggalakkan lebih ramai pelajar dan graduan, khasnya Melayu, Muslim dan Bumiputera memilih keusahawanan dan bisnes sebagai kerjaya pilihan.
Sepanjang 2009, lebih 15,000 pelajar dan mahasiswa dari 36 buah IPT dan sekolah telah menyertai program ini yang dianjurkan Institut Pembangunan Pengurusan Johor (IPPJ), dengan kerjasama pihak sekolah, IPT dan agensi berkaitan di bawah tajaan KFC Holdings (Malaysia) Bhd, iaitu syarikat dalam Kumpulan JCorp. Melalui program ini, saya dan rakan daripada JCorp termasuk Pengarah Urusan KFC Holdings (Malaysia) Bhd, Jamaludin Md Ali, serta beberapa orang usahawan yang juga ahli Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM) menemui pelajar untuk berkongsi pengalaman, membuka peluang kepada mereka mendekati usahawan berjaya yang boleh dicontohi, berdialog dan berinteraksi secara langsung.
Selain itu, ia juga bertujuan membuka minda pelajar terhadap peluang, peranan dan potensi dalam pembangunan ekonomi ummah dan negara yang dipacu bisnes. Jelas sekali prospek kerjaya masa depan pelajar hari ini tertumpu di sektor swasta dan menerusi peluang yang dijana oleh bisnes dan industri. Kerap saya tegaskan bahawa sistem ekonomi moden pacuan bisnes ini menepati anjuran Islam bahawa sembilan persepuluh sumber rezeki dan peluang ekonomi terdapat pada perniagaan dan bisnes.
Dalam sesi ini, perhatian pelajar ditujukan kepada hakikat bangsa Melayu dan umat Islam rata-rata keciciran dan lebih ramai yang miskin berbanding umat lain, sama ada di Malaysia atau negara Islam lain. Puncanya kerana umat Islam sebenarnya tidak menterjemahkan ajaran Islam mengenai pentingnya bisnes dalam realiti kehidupan bermasyarakat.
Dengan demikian, sesi ceramah seperti ini akan saya gunakan untuk menekankan betapa umat Islam wajib menjayakan bisnes dan berusaha menjadikannya sebagai perjuangan bertaraf jihad. Jelas sekali, betapa umat Islam di negara miskin begitu mudah ditindas, dizalimi dan diancam kehidupan beragamanya, semata-mata kerana kelemahan ekonomi yang memaksa mereka bergantung harapan dan nasib kepada bantuan negara maju yang kerap mengambil kesempatan daripada kelemahan mereka.
Ada juga antara mereka yang ”dijajah semula” apabila sistem ekonomi dikuasai orang lain menerusi kawalan ke atas pelaburan dan kewangan, sumber keuntungan, kuasa membeli dan pasaran. Demikian juga apabila hak milik industri, hartanah, teknologi dan harta intelek seperti jenama dan paten serta kuasa korporat bernilai tinggi sebahagian besarnya tidak berada di tangan umat Islam. Terdapat negara Islam yang rakyatnya lemah akhirnya dianiaya dan dirampas hak serta kebebasan setelah hilang upaya serta kuasa.
Keadaan ini seolah-olah menyebabkan seluruh umat tidak lagi bermaya dan kalau pun ada yang kaya, misalnya dengan kekayaan hasil minyak dan gas, ianya tidak memperkasa umat kerana kepincangan struktur ekonomi, sosial dan politik yang melemahkan. Apabila umat yang dijanjikan agamanya sebagai umat terbaik atau ”khaira ummah” itu lemah, menjadi mudah ajaran agama agung itu diperkecil serta dipersoalkan kebenaran dan kesuciannya.
Dua penulis Amerika yang pernah berkhidmat di bawah pemerintahan Presiden Amerika, George W Bush, iaitu David Frum dan Richard Perle menulis dalam buku mereka bertajuk ”An End to Evil – How to Win the War on Terror” menyatakan bahawa ketewasan dan kekecundangan umat Islam bukan sahaja melukakan hati umat Islam; semua ini mencabar kebenaran agama Islam itu sendiri! (“Islam’s defeats and disasters have been more than a wound to Muslims; they directly challenge the truth of Islam itself!”)
Di sini letaknya sebab utama kenapa umat Islam wajib memperkasa ekonomi dan wajar menjayakan bisnes dengan menjadikannya sebagai perjuangan bertaraf jihad. Daripada kejayaan usaha bisnes dan korporat akan lahir kuasa ekonomi untuk membebaskan umat dari kemiskinan. Kemudian mengembalikan kuasa ketenteraan, sosial dan politik umat.
Dalam sesi interaksi dan dialog di akhir seminar, antara soalan yang paling kerap diajukan adalah bagaimana cara untuk memulakan dan menjayakan bisnes sedangkan mereka tidak memiliki modal. Justeru, pelajar lebih mengharapkan organisasi seperti JCorp atau badan Kerajaan menyediakan bantuan modal kepada graduan bagi memulakan bisnes. Pada persepsi mereka, modal adalah faktor kejayaan utama (critical success factor) berbanding lain.
Saya percaya persepsi ini mencerminkan persepsi umum di kalangan hampir semua usahawan Melayu yang ingin berbisnes. Sebahagian besar mereka akan tergerak untuk berniaga hanya sekiranya tersedia sumber modal dan pembiayaan kerajaan. Mereka tidak fikir sekalipun modal itu penting, tetapi ia bukan prasyarat mutlak bagi memulakan dan menjayakan perniagaan.
Saya kerap menonjolkan contoh bangsa lain seperti orang Cina yang lebih tinggi daya keusahawanannya. Sekiranya diperhatikan, warga Malaysia berketurunan Cina ketika datang ke Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak asalnya miskin dan tidak berharta. Malahan ramai yang datang setelah keluarga mereka di tanah besar China bergadai bergolok dan berhutang membiayai tambang dan sara hidup mereka yang mencari rezeki dan kehidupan baru di seberang laut. Mereka hidup menderita, kerap ditindas dan dizalimi orang tengah dan agen yang membawa mereka ke tempat baru.
Mereka tidak dilindungi undang-undang dan tidak mendapat pembelaan pemerintah yang ketika itu dikuasai penjajah. Mereka juga tidak mendapat bantuan peruntukan kewangan kerajaan. Setelah merdeka tidak ada Dasar Ekonomi Baru (DEB) untuk mereka.
Ketika kecil, saya pernah melihat bagaimana susahnya kehidupan orang Cina di kampung saya di Muar, Johor. Kebanyakan mereka ketika itu tidak memiliki apa-apa. Rumah mereka hanya berlantaikan tanah dan lumpur, sedangkan rumah Melayu ketika itu lebih selesa, tersusun rapi, dan bersih. Ramai yang menumpang dan menyewa di tanah dan kebun Melayu, termasuk tanah rizab Melayu. Kehidupan mereka cukup susah sehingga ada yang cuma mampu makan bubur, terpaksa berjimat cermat dalam kehidupan harian dan berdikit-dikit. Apapun, yang paling ketara, mereka kuat kerja, cergas dan tinggi daya usaha untuk membela nasib dan membina kedudukan ekonomi keluarga masing-masing.
Dengan berdikit-dikit, kerja kuat dan berjimat cermat, mereka menabung dan menghimpun modal sehingga akhirnya berupaya membeli tanah ladang dan membina rumah kedai. Saya melihat sendiri bagaimana mereka berusaha mengatasi kesempitan modal yang menghantui mereka. Ada yang membeli dan mengumpul surat khabar lama, botol terpakai dan besi buruk di kampung. Namun akhirnya, kalau generasi pertama mereka datang ke kampung membeli besi buruk, generasi kedua dan ketiga hari ini berjaya membina kilang besi waja dan menerajui bisnes besar-besaran di kota sehingga menguasai ekonomi negara!
Demikian juga hari ini kita saksikan bagaimana pendatang seperti Indonesia yang mulanya sehelai sepinggang turut berjaya membina keupayaan sendiri dan berdikari akhirnya. Ada yang bermastautin buat beberapa tahun, akhirnya kaya raya sekalipun mereka tidak mempunyai modal dan tidak mendapat manfaat daripada sokongan dasar dan bantuan kewangan kerajaan. Perhatikan bagaimana terdapat warga Indonesia (sama ada dengan izin atau tanpa izin) kini berjaya membina kehidupan mewah.
Kerap saya tonjolkan, misalnya peniaga asing di pasar Chow Kit, Kuala Lumpur. Terdapat pekerja asing mulanya berkerja sebagai buruh kasar seperti menjadi tukang sapu dan pembuang sampah di pasar berkenaan dan pasar awam lain. Mereka juga tidak ada modal dan tidak mendapat sokongan bantuan daripada mana-mana pihak.
Mereka sangat rajin berkerja. Mereka juga memerhatikan kebiasaan dan tabiat masyarakat kita, sama ada secara sedar atau tidak, kerap melakukan pembaziran. Misalnya, sayur-sayuran dan buah-buahan yang rosak sedikit akan terus dibuang oleh peniaga di pasar. Daripada bahan buangan inilah pekerja asing ini menjadikannya ”modal percuma” dan sumber kemewahan masa depan mereka. Buangan ini dikutip, dipotong bahagian yang rosak dan bahagian yang elok disimpan dan dijual semula di pasar malam. Berkat kegigihan dan kesabaran, mereka mampu menghimpun wang untuk dijadikan modal membuka perniagaan yang lebih besar sehingga maju.
Di situ jelas menunjukkan bagaimana kebijaksanaan orang yang tinggi cita-cita dan azam dalam membina kehidupan dan menjayakan bisnes. Ketiadaan modal, tanah, harta dan sokongan dasar atau kemudahan bukan alasan untuk tidak berusaha dan tidak berjaya. Perkara paling penting yang boleh kita contohi ialah semangat, kegigihan dan kegagahan mereka berusaha dengan penuh kreatif dan berimaginasi. Mereka tidak memilih jalan mudah dan tidak ragu untuk mengusahakan sesuatu yang susah dan mencabar.
Bukanlah pula di sini kita menganjurkan supaya diketepikan segala dasar dan program bantuan kerajaan. Mesej penting ialah hakikat bahawa bangsa Melayu, Bumiputera dan umat Islam tidak boleh menjadikan ketiadaan modal sebagai alasan dan tidak boleh lagi menyalahkan Kerajaan atau orang lain sekiranya mereka masih ketinggalan.
Mungkin yang paling penting diteladani daripada pemerhatian terhadap pengalaman warga negara Malaysia keturunan Cina dan pendatang asing yang berjaya, ialah minda dan pemikiran yang memaksa diri untuk berdikari. Kemungkinan besar kejayaan warga negara keturunan Cina dan pendatang lain terdapat pada persepsi minda atau mindset mereka sebagai golongan migran. Fenomena yang sama didapati di kalangan hampir semua golongan migran di negara-negara lain yang juga kerap lebih berjaya berbanding penduduk tempatan, termasuk seperti migran India di beberapa negara Afrika dan kepulauan Pasifik.
Persepsi minda mereka ialah pertamanya segera menerima hakikat bahawa mereka adalah minoriti dan mengakui bahawa kelemahan daripada status ini cuma boleh diatasi dengan menerima kenyataan dan sanggup berusaha ”menggenggam bara api sehingga menjadi arang!” Andai mereka gagal, tidak ada langsung pembelaan bagi mereka dan mereka akan tenggelam, hapus dan pupus ditelan zaman.
Persepsi minda ”golongan minoriti dan migran” ini perlu diterima pakai oleh bangsa Melayu dan umat Islam dalam menghadapi cabaran survival dan hidup-mati dewasa ini. Kelemahan ekonomi dan keciciran membuatkan bangsa Melayu menjadi golongan ”minoriti” dalam penguasaan ekonomi di negara sendiri. Oleh kerana mereka baru mengenali bisnes, mereka juga sebenarnya adalah golongan ”pendatang” atau ”migran” yang terdampar di tebing persaingan bisnes yang sangat mencabar ini.
Sesungguhnya, pada akhirnya, semangat berjihad melalui bisnes akan berupaya memberi kita semangat dan kekuatan yang menjanjikan kemenangan. Dalam sejarah kegemilangan dan kejayaan perjuangan Islam, kerap disaksikan peristiwa di mana jihad membawa kemenangan kepada bilangan yang kecil atau golongan minoriti. Mereka akhirnya berupaya dan berjaya menghadapi cabaran dan ancaman daripada golongan yang jauh lebih besar bilangannya dan lebih jauh ke depan dari segi kekayaan dan harta benda.
Muhammad Ali24 Mac, 2010.
No comments:
Post a Comment